Sebagaimana yang kita maklumi, untuk mengerjakan ibadat haji dan umrah, wajib kita memakai ihram di Miqat. Miqat ataupun perhentian bagi jemaah haji dan umrah dari Asia Tenggara ialah Yalamlam ataupun Jeddah. Dari sanalah kita berniat serta memakai ihram.
Mereka yang datang dari arah Madinah menuju ke Mekah dengan tujuan untuk mengerjakan haji dan umrah ataupun salah satu daripadanya, maka mereka berniat serta berihram di Bi’r Ali. Adapun bagi mereka yang melalui Tana’em ataupun Ja’ranah, di sanalah mereka berniat dan memakai ihram.
Cara Solat Sunat Ihram
Walau di mana pun kita memakai ihram, maka disunatkan sebaik saja memakai ihram itu mengerjakan solat sunat dua rakaat tatacaranya seperti solat sunat lainnya. Lafaz niatnya adalah:
أُصَلِّي سُنَّةَ الْإِحْرَامِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى.
“Sahaja aku solat sunat ihram dua rakaat kerana Allah Taala.“
Untuk peringatan, sebelum memakai ihram disunatkan mandi dahulu dengan niat hendak memakai ihram.



