Pengertian dan Kewajiban Ibadah Haji
Dari sudut bahasa, haji bermaksud menuju atau mengunjungi ke sesuatu tempat. Dalam konteks syarak, ia membawa maksud mengunjungi Baitullah (Ka’bah) pada waktu-waktu tertentu, iaitu pada bulan haji di bulan Zulhijah, sambil melaksanakan amalan-amalan tertentu yang telah diwajibkan bagi ibadah haji. Pengertian ini dapat dirujuk dalam sumber seperti al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah yang memperincikan definisi dan syarat-syaratnya.
Haji adalah salah satu daripada lima rukun Islam yang wajib dipenuhi oleh setiap Muslim, baik lelaki mahupun wanita, yang memenuhi syarat-syarat tertentu. Kewajiban ini hanya perlu dilaksanakan sekali seumur hidup, dan ia menjadi tuntutan fardu bagi mereka yang berkemampuan dari segi kewangan, fizikal, serta mental. Ia hanya boleh dilakukan pada bulan Zulhijjah, khususnya antara 9 hingga 13 haribulan.
Firman Allah SWT dalam (surah Al Imran : 97)
وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا
Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”
Bagi mereka yang berpeluang melaksanakan haji, ia bukan sekadar menunaikan kewajiban agama, tetapi juga peluang untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan memperkukuhkan hubungan spiritual. Haji merupakan pengalaman ibadah yang melibatkan pengorbanan, kerendahan hati, serta kesyukuran yang mendalam terhadap nikmat yang diberikan oleh-Nya.
Firman Allah SWT dalam (Surah Al-Hajj : 27)
وَأَذِّن فِى ٱلنَّاسِ بِٱلْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًۭا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍۢ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍۢ٢٧
Maksudnya : “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.“
Pemergian ke kota Makkah atau Arafah bukan semata-mata perjalanan jasad, tetapi perjalanan ‘rabbani’ iaitu perjalanan berserta ketulusan hati dan rohani ke arah menemui Allah SWT serta mengeratkan jalinan hubungan antara Allah sebagai Khalik (Pencipta) yang menjadikan alam sebagai makhluk-Nya dan manusia sebagai khalifah-Nya.
Firman Allah SWT dalam (Surah Al-Baqarah : 196) :
وَأَتِمُّوا۟ ٱلْحَجَّ وَٱلْعُمْرَةَ لِلَّهِ ۚ فَإِنْ أُحْصِرْتُمْ فَمَا ٱسْتَيْسَرَ مِنَ ٱلْهَدْىِ ۖ وَلَا تَحْلِقُوا۟ رُءُوسَكُمْ حَتَّىٰ يَبْلُغَ ٱلْهَدْىُ مَحِلَّهُۥ ۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ بِهِۦٓ أَذًۭى مِّن رَّأْسِهِۦ فَفِدْيَةٌۭ مِّن صِيَامٍ أَوْ صَدَقَةٍ أَوْ نُسُكٍۢ ۚ فَإِذَآ أَمِنتُمْ فَمَن تَمَتَّعَ بِٱلْعُمْرَةِ إِلَى ٱلْحَجِّ فَمَا ٱسْتَيْسَرَ مِنَ ٱلْهَدْىِ ۚ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَـٰثَةِ أَيَّامٍۢ فِى ٱلْحَجِّ وَسَبْعَةٍ إِذَا رَجَعْتُمْ ۗ تِلْكَ عَشَرَةٌۭ كَامِلَةٌۭ ۗ ذَٰلِكَ لِمَن لَّمْ يَكُنْ أَهْلُهُۥ حَاضِرِى ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ ١٩٦
Maksudnya : Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah; maka sekiranya kamu dikepong (dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu bolehlah bertahallul serta) sembelihlah Dam yang mudah didapati; dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahallul), sebelum binatang Dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya. Maka sesiapa di antara kamu sakit atau terdapat sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu ia mencukur rambutnya), hendaklah ia membayar fidyah. Iaitu berpuasa, atau bersedekah, atau menyembelih Dam. Kemudian apabila kamu berada kembali dalam keadaan aman, maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan Umrah, (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) ibadat Haji, (bolehlah ia melakukannya kemudian wajiblah ia) menyembelih Dam yang mudah didapati. Kalau ia tidak dapat (mengadakan Dam), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan Haji dan tujuh hari lagi apabila kamu kembali (ke tempat masing-masing); semuanya itu sepuluh (hari) cukup sempurna. Hukum ini ialah bagi orang yang tidak tinggal menetap (di sekitar) masjid Al-Haraam (Makkah). Dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan ketahuilah bahawasanya Allah Maha berat balasan seksaNya (terhadap orang-orang yang melanggar perintahNya).
.Haji dan Umrah, kedua-duanya hanya wajib sekali saja seumur hidup dan sunat dikerjakan berulang-ulang kali. Perbezaan jelas antara kedua-duanya ialah haji hanya boleh dikerjakan dalam bulan haji iaitu mulai 1 Syawal hingga naik fajar hari 10 Zulhijah.
Menunaikan Haji: Rukun Islam Kelima
Haji merupakan rukun Islam terakhir yang wajib dilaksanakan oleh umat Islam yang berkemampuan.
Haji adalah lebih daripada sekadar perjalanan fizikal; ia merupakan perjalanan spiritual untuk memperkukuhkan hubungan dengan Allah. Ia membawa peluang untuk berdoa, bermuhasabah, dan memohon keampunan atas segala dosa. Allah berfirman dalam Surah al-Hajj, ayat 27, bahawa manusia dari segenap penjuru dunia akan datang untuk menyaksikan manfaat-manfaat besar haji dan menyebut nama-Nya pada hari-hari tertentu.
Ganjaran dan Fadilat Ibadah Haji
Haji yang mabrur, yakni yang dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan kesempurnaan, menjanjikan syurga sebagai ganjaran tertinggi. Rasulullah SAW bersabda bahawa antara satu umrah ke umrah yang berikutnya adalah penghapus dosa, manakala haji yang diterima Allah tidak ada balasan lain melainkan syurga. Selain itu:
- Allah menurunkan 120 rahmat setiap hari di Kaabah: 60 rahmat bagi yang tawaf, 40 bagi yang solat, dan 20 bagi yang memandang Kaabah.
- Haji yang dilakukan tanpa maksiat akan menjadikan pelakunya bersih seperti bayi yang baru lahir.
- Berbelanja untuk ibadah haji dianggap seperti berjuang di jalan Allah, dengan ganjaran dilipatgandakan sebanyak 700 kali.
Syarat dan Rukun Haji
Bagi memastikan haji diterima, terdapat syarat wajib dan rukun yang mesti dipenuhi. Antaranya:
- Syarat Wajib Mengerjakan haji : Islam, baligh, berakal, merdeka, dan berkemampuan. Wanita perlu mendapat izin suami atau wali serta ditemani oleh mahram atau wanita dipercayai.
- Rukun Haji: Niat ihram, wukuf di Arafah, tawaf ifadah, saie antara Safa dan Marwah, bercukur atau bergunting, dan tertib.
Jika mana-mana rukun tidak dilakukan, ibadah haji dianggap tidak sah dan terpaksa mengqadakannya semula dengan segera kerana masih di dalam ihram (pantang larang).
Batal Haji
- Tidak melakukan semua rukun haji dengan sempurna mengikut syarat-syaratnya.
- Tidak melakukan dan hadir sendiri di tempat ibadat dan dalam masa yang ditetapkan, walaupun boleh dengan bantuan orang lain.
- Melakukan persetubuhan semasa ihram kecuali sesudah tahallul awal.
- Hilang akal atau pengsan sepanjang menunaikan haji.
- Membatalkan niat ibadat oleh sesuatu keadaan.
- Murtad.
Syarat Wajin Mengerjakan Haji
- Niat ihram di Miqat.
- Menjaga larangan dalam ihram
- Bermalam di Mudzalifah.
- Melontar Jamrah Al-Aqabah.
- Bermalam di Mina.
- Melontar ketiga-tiga jamrah pada hari Tasyriq.
Sekiranya tertinggal salah satu daripadanya HAJI / UMRAHNYA SAH tetapi diwajibkan dam
Umrah: Ibadah Mendekatkan Diri kepada Allah
Umrah merupakan satu ibadah yang melibatkan kunjungan ke Baitullah al-Haram di Mekah, yang boleh dilakukan pada bila-bila masa sepanjang tahun. Dalam pelaksanaannya, terdapat ibadah-ibadah tertentu yang perlu dipenuhi mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak.
Menunaikan umrah menjadi kewajiban sekali seumur hidup bagi setiap Muslim yang berkemampuan. Ia bukan sekadar sebuah perjalanan ibadah, tetapi juga peluang untuk memperkukuhkan hubungan rohani dengan Allah SWT dan meraih ganjaran yang besar di sisi-Nya.
Lafaz Niat Haji dan Umrah
Niat adalah permulaan setiap ibadah, termasuk haji dan umrah. Berikut adalah lafaz niat bagi setiap kategori:
- Haji:
نَوَيْتُ الْحَجَّ وَأَحْرَمْتُ بِهِ لِلَّهِ تَعَاَلَى
“Aku berniat mengerjakan haji dan berihram dengannya kerana Allah Ta’ala.” - Umrah:
نَوَيْتُ الْعُمْرَةَ وَأَحْرَمْتُ بِهَا لِلَّهِ تَعَاَلَى
“Aku berniat mengerjakan umrah dan berihram dengannya kerana Allah Ta’ala.” - Haji dan Umrah serentak (Qiran):
نَوَيْتُ الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ وَأَحْرَمْتُ بِـهِمَا لِلَّهِ تَعَاَلَى
“Aku berniat mengerjakan haji dan umrah serta berihram dengan kedua-duanya kerana Allah Ta’ala.”
Perbezaan Umrah Dan Haji
UMRAH | HAJI |
Umrah boleh dilakukan pada bila-bila masa sepanjang tahun kecuali bagi orang yang berada dalam ihram haji. Ibadah umrah tidak perlu berwukuf di Arafah, Mabit di Muzdalifah dan Mina serta melontar di Jamrah | Haji hanya boleh ditunaikan dalam bulan-bulan haji sahaja iaitu mulai dari 1 Syawal hingga terbit fajar pada 10 Zulhijjah |
Ibadah haji dan umrah bukan sekadar ritual, tetapi peluang besar untuk memperbaharui keimanan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ganjaran yang dijanjikan amat besar, termasuklah penghapusan dosa dan syurga bagi haji yang mabrur.
Penutup dan Doa untuk Bakal Jemaah Haji
Semoga penjelasan ringkas mengenai ibadah haji dan umrah dapat memberikan pencerahan serta manfaat kepada para pembaca, khususnya mereka yang akan menunaikan ibadah ini. Semoga segala amalan yang dilakukan diterima oleh Allah SWT, dan kami turut mendoakan agar bakal jemaah haji selamat menjalankan ibadah mereka serta dikurniakan haji yang mabrur.
Haji yang mabrur dapat dikenali melalui perubahan diri seseorang selepas pulang daripada ibadah tersebut. Individu itu akan lebih zuhud terhadap urusan dunia, penuh kerendahan hati, dan bersungguh-sungguh dalam mengejar akhirat. Kami berdoa agar kita semua tergolong dalam kalangan insan yang mendapat keberkatan ini.
اللَّهُمَّ اجْعَلْ حَجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبًا مَغْفُوْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, jadikanlah haji kami sebagai haji yang mabrur, usaha yang disyukuri, dan dosa yang diampuni.”
Semoga doa ini menjadi penguat semangat bagi kita semua dalam mengejar keredhaan Allah SWT.