Setiap bangsa ataupun kaum di muka bumi ini mempunyai amalan tertentu yang diwarisi secara turun-temurun dari nenek moyang mereka. Bangsa Melayu tidak terkecuali dari kenyataan ini mengenai adat. Dalam soal nikah, bangsa Melayu mempunyai satu adat yang khusus.
Sekiranya adat kebiasaan itu agak berlawanan dengan syarak, maka sebaiknya ia diketepikan, lebih-lebih lagi apabila adat istiadat itu secara terang melanggar hukum syarak. Oleh kerana kebanyakan orang Melayu di negara ini beragama Islam, maka perkara ini hendaklah diberi perhatian utama.
Cara Solat Sunat Nikah
Kebiasaannya, setelah selesai upacara akad nikah, pengantin lelaki dibawa bertemu pengantin perempuan untuk upacara (adat) seterusnya iaitu membatalkan air sembahyang. Syaitan sentiasa berusaha menghalang orang-orang Mukmin menjalin hubungan lelaki perempuan secara sah. Apabila halangan syaitan itu berjaya ditempuh, maka sepatutnya kita melahirkan kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t. yang telah memberi pimpinan dan pertolongan. Tiada cara terbaik bagi pasangan yang baru melepasi halangan syaitan itu selain dari menunaikan solat sunat dua rakaat.
Inilah sepatutnya yang menjadi adat istiadat kita setelah selesai akad nikah. Adat membatalkan air sembahyang itu sendiri mempunyai tanggapan ataupun nilai yang tidak baik. Maka lebih baik solat sunat ini mengambil alih tempat adat-adat yang tidak kena pada tempatnya itu.
Solat sunat nikah sama sahaja caranya dengan solat sunat Mutlak dari segi praktik ataupun gerak lakunya. Cuma ia dibezakan oleh niat. Lafaz niatnya adalah:
أُصَلِّي سُنَّةَ النِّكَاحِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى.
“Sahaja aku solat sunat nikah dua rakaat kerana Allah Taala.“
Apabila selesai mengerjakan solat sunat ini dengan tertib dan sempurna, maka berdoalah kepada Allah s.w.t. dengan sebarang doa yang dikehendaki serta mengucapkan syukur kepada-Nya.



