Syurga merujuk kepada tempat istimewa yang dijanjikan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh. Sebaliknya, neraka merupakan balasan bagi golongan yang tidak berbuat demikian. Oleh kerna itu, Allah S.W.T. telah mencipta syurga dan neraka sebagai ganjaran dan hukuman.
Allah S.W.T dengan jelas menyatakan adanya syurga dan kebahagiaan yang menanti para penghuninya di sana nanti.
Setiap syurga mempunyai tingkat yang berbeza bagi penghuninya. Gambaran mengenai syurga juga telah banyak dijelaskan dalam beberapa ayat Al-Quran, termasuk firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa, ayat 13:
تِلْكَ حُدُودُ ٱللَّهِ ۚ وَمَن يُطِعِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ يُدْخِلْهُ جَنَّٰتٍ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَٰرُ خَٰلِدِينَ فِيهَا ۚ وَذَٰلِكَ ٱلْفَوْزُ ٱلْعَظِيمُ
Segala hukum yang tersebut adalah batas-batas (syariat) Allah. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, ia akan diamasukkan oleh Allah ke dalam syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah kejayaan yang amat besar.
Sebagai umat Islam, kita wajib mempercayai dan berusaha mencapai syurga sebagai matlamat utama dalam kehidupan di dunia.
Oleh itu, sebagai umat Islam, kita perlu mengenali nama-nama syurga dan tingkatannya yang telah dinyatakan dalam Al-Quran.
Nama-Nama Syurga
Terdapat 8 nama syurga yang disebutkan dalam Al-Quran sebagai ganjaran bagi mereka yang mentaati dan bertaqwa kepada Allah SWT. Nama-nama syurga tersebut adalah:
1. Syurga Firdaus
Syurga Firdaus adalah tempat yang Allah S.W.T ciptakan daripada emas merah, dengan sungai-sungai syurga yang mengalir indah. Syurga ini merupakan salah satu syurga yang tertinggi darjatnya berbanding syurga-syurga lain.
Sebagaimana firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-Kahfi ayat:107:
إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ كَانَتْ لَهُمْ جَنَّاتُ الْفِرْدَوْسِ نُزُلً
Maksudnya : “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, disediakan bagi mereka syurga Firdaus sebagai tempat tetamu (yang serba mewah)”
Ciri-ciri penghuni Syurga Firdaus adalah:
- Orang yang menjaga dan memelihara solatnya.
- Orang yang sentiasa membayar zakat.
- Orang yang sentiasa menjaga lidah dari mengeluarkan perkataan yang kesat dan perkara-sia-sia.
- Para syuhada’ yang mati syahid kerana berjihad ke jalan Allah, para nabi dan rasul.
- Orang yang sentiasa menjaga kemaluannya, kecuali terhadap isteri-isteri mereka.
2. Syurga Ma’wa
Syurga Ma’wa diciptakan oleh Allah S.W.T. dari zamrud hijau. Menurut Ali Tafsir Atha, Syurga Ma’wa merupakan tempat tinggal bagi Jibrail dan malaikat-malaikat yang lain.
Tempat yang indah ini juga menjadi tempat bagi orang-orang yang memiliki iman yang kukuh dan taqwa kepada Allah S.W.T.
Sebagaimana firman Allah S.W.T dalam Surah al-Najm ayat: 15:
عِنۡدَہَا جَنَّۃُ الۡمَاۡوٰی
Maksudnya : “Yang di sisinya terletak syurga al-Ma’wa”
Ciri-ciri penghuni Syurga Ma’wa adalah:
- Orang-orang yang beriman dan melakukan kebaikan.
- Orang yang taat kepada Allah S.W.T.
- Orang yang takut kepada kebesaran Allah S.W.T dan mampu mengawal hawa nafsunya.
3. Syurga ‘Adn
Syurga ‘Adn diciptakan oleh Allah S.W.T. daripada mutiara putih. Syurga ini biasanya dihuni oleh orang-orang yang sentiasa beriman kepada agama yang satu. Dalam bahasa Inggeris, Syurga ‘Adn dikenali sebagai “Eden,” yang bermaksud “Taman yang Indah.” Syurga ‘Adn ini merupakan ganjaran istimewa bagi mereka yang sabar dalam menghadapi segala ujian yang diturunkan oleh Allah S.W.T. sepanjang hidup mereka.
Sebagaimana Firman Allah S.W.T dalam surah al-Nahl ayat:31:
جَنَّـٰتُ عَدْنٍۢ يَدْخُلُونَهَا تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ ۖ لَهُمْ فِيهَا مَا يَشَآءُونَ ۚ كَذَٰلِكَ يَجْزِى ٱللَّهُ ٱلْمُتَّقِينَ
Maksudnya : (Untuk mereka) Syurga-syurga ” Adn “, yang mereka akan memasukinya, yang mengalir padanya beberapa sungai; mereka beroleh di dalam Syurga itu apa yang mereka kehendaki; demikianlah Allah membalas orang-orang yang bertaqwa.
4. Syurga Khuldi
Syurga Khuldi adalah sebuah syurga yang diciptakan oleh Allah S.W.T. daripada marjan merah dan kuning. Syurga ini dihuni oleh orang-orang yang selalu melaksanakan perintah Allah S.W.T. dan menjauhi larangan-Nya. Mereka akan berkumpul di dalam syurga yang dikenali sebagai syurga Khuldi.
Sebagaimana firman Allah S.W.T dalam surah al-Furqan, ayat :15:
قُلْ أَذَٰلِكَ خَيْرٌ أَمْ جَنَّةُ الْخُلْدِ الَّتِي وُعِدَ الْمُتَّقُونَ ۚ كَانَتْ لَهُمْ جَزَاءً وَمَصِيرًا
Maksudnya : Katakanlah: “Apa (azab) yang demikian itukah yang baik, atau surga yang kekal yang telah dijanjikan kepada orang-orang yang bertakwa?” Dia menjadi balasan dan tempat kembali bagi mereka?”.
Ciri-ciri penghuni Syurga Khuldi adalah:
- Orang-orang yang melaksanakan semua perintah Allah S.W.T. dan menghindari semua larangan-Nya.
5. Syurga Na’im/ Naiim
Syrga Na’im adalah sebuah syurga yang diciptakan oleh Allah S.W.T daripada perak putih. Syurga ini dihuni oleh orang-orang yang rajin melakukan amal soleh.
Sebagaimana firman Allah S.W.T dalam surah al-Syu’ra ayat: 85:
وَاجْعَلْنِيْ مِنْ وَّرَثَةِ جَنَّةِ النَّعِيْمِ
Maksudnya : “Dan jadikanlah daku dari orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatun-Na’im”.
6. Syurga Darussalam/ Dar al-Salam
Syurga Darussalam, yang diciptakan oleh Allah S.W.T daripada yakut merah, adalah sejenis permata yang sangat berharga. Dar al-Salam merupakan salah satu daripada 99 nama Allah dan merujuk kepada sebuah tempat yang dipenuhi dengan kedamaian dan keselamatan.
لَهُمْ دَارُ ٱلسَّلَٰمِ عِندَ رَبِّهِمْ ۖ وَهُوَ وَلِيُّهُم بِمَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ
Maksudnya : “Bagi merekalah syurga Dar al-Salam (tempat tinggal yang aman sejahtera) di sisi Tuhan mereka, dan Dialah Penolong mereka, disebabkan amal-amal (yang baik) yang mereka telah kerjakan.”
Ciri-ciri penghuni Syurga Darussalam/ Dar al-Salam adalah:
- Orang yang berpegang tuguh kepada keimanannya.
- Orang yang selalu merenungi ayat-ayat al-Quran dan mengamalkannya dalam kehidupan sehari-hari kerana Allah.
7. Syurga Darul Muqamah
Syurga Darul Muqamah ini diciptakan oleh Allah S.W.T dari permata putih dan dihuni oleh mereka yang berpegang teguh pada iman, Islam, serta rajin melakukan amal soleh.
Sebagaimana firman Allah S.W.T dalam surah Fathir ayat 35:
ٱلَّذِىٓ أَحَلَّنَا دَارَ ٱلْمُقَامَةِ مِن فَضْلِهِۦ لَا يَمَسُّنَا فِيهَا نَصَبٌ وَلَا يَمَسُّنَا فِيهَا لُغُوبٌ
Maksudnya : “Dan mereka berkata:” Segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan dukacita kami. Sesungguhnya Tuhan kami benar-benar Maha Pengampun. Yang menempatkan kami dalam tempat yang kekal (syurga) dari kurnia-Nya; di dalamnya kami tiada berasa lelah dan tiada pula berasa lesu.”
Ciri-ciri penghuni Syurga Darul Muqamah adalah:
- Mereka yang tetap teguh dengan iman dan Islam.
- Mereka yang sentiasa memperbanyakkan amal soleh.
8. Syurga Maqamul Amin
Syurga Maqamul Amin diciptakan oleh Allah S.W.T daripada emas dan dihuni oleh orang-orang yang beriman serta bertakwa kepada-Nya. Mereka akan ditempatkan di Maqamul Amin, sebuah syurga yang menjadi tempat kembali bagi mereka yang bertakwa.
Ciri-ciri penghuni Syurga Maqamul Amin adalah:
- Mereka yang sentiasa beriman dan bertakwa kepada Allah S.W.T.