Setiap ibu bapa pasti menantikan kelahiran anak mereka yang merupakan anugerah paling berharga. Beberapa sunnah disyorkan untuk diamalkan bagi memastikan keberkatan dan kebaikan dalam kehidupan anak, serta sebagai tanda syukur atas kelahirannya. Salah satu sunnah yang dianjurkan adalah tahnik.
Apa Itu Tahnik?
Tahnik bayi adalah amalan sunnah dalam Islam yang dilakukan kepada bayi yang baru lahir. Ia melibatkan menyuapkan atau mencalit sedikit buah tamar yang telah dikunyah oleh seorang yang soleh ke bahagian lelangit bayi. Amalan ini dilakukan untuk memberikan keberkatan dan kebaikan kepada bayi.
Hukum melakukan tahnik ini adalah sunat.
Dalam kalangan masyarakat Melayu, amalan ini dikenali sebagai ‘membelah mulut bayi’. Jika buah tamar tidak ada, manisan boleh digunakan sebagai pengganti.
Namun, para ibu bapa perlu elakkan menggunakan madu kerana ia mengandungi bakteria yang boleh membahayakan bayi.
Cara Melakukan Tahnik
Berikut adalah cara-cara melakukan tahnik:
- Persiapkan kurma atau manisan dan air zamzam
- Mulakan dengan beristighfar
- Membaca Al-Fatihah
- Baca Ayat Kursi, Selawat Syifa, Selawat Kamilah
- Baca 3 Qul (Surah Al-Ikhlas, Al-Falaq, An-Nas)
- Seterusnya, ambil kurma dan kunyah sehingga ia hancur
- Calitkan kurma pada jari telunjuk atau jari kelingking (pastikan jari anda bersih terlebih dahulu)
- Masukkan ke dalam mulut bayi
- Kemudian, sambil jari berada dalam mulut, bacakan ayat 33-37 dari Surah Ali Imran
- Tarik jari dari mulut bayi dan berikan sedikit air zamzam
- Seterusnya bacakan doa khusus atau bacakan apa sahaja doa yang diinginkan/dihajatkan kepada si bayi.