Dalam Islam, air dianggap sebagai elemen yang suci, terutama sekali bagi umat Muslim dalam melaksanakan ibadah harian. Namun begitu, tidak semua jenis air dianggap suci dalam Islam, kerana setiap sumber air dikategorikan kepada beberapa jenis.
Oleh itu, kenali lima jenis air dalam Islam yang penting untuk anda ketahui.
1. Air Mutlak
Air mutlak merujuk kepada air yang suci lagi menyucikan, iaitu air yang masih berada dalam keadaan asalnya tanpa bercampur dengan bahan lain yang boleh mengubah sifat-sifat aslinya, seperti warna, rasa, atau bau. Air mutlak boleh digunakan untuk berwuduk dan mandi wajib, serta membersihkan najis.
Contoh air mutlak termasuklah:
- Air hujan
- Air laut,
- Air sungai,
- Air telaga atau perigi
- Air mata air
- Air salji yang mencair
- Air embun
2. Air musta’mal
Air yang telah digunakan untuk bersuci, seperti air yang digunakan untuk berwudhu atau mandi wajib. Air musta’mal masih suci, tetapi tidak lagi menyucikan jika jumlahnya sedikit dan tidak mengalir.
3. Air musyammas
Air musyammas merujuk kepada air yang telah terdedah secara langsung kepada cahaya matahari untuk jangka masa yang panjang. Ini sering berlaku di kawasan beriklim panas. Walaupun air ini dianggap suci dan dapat menyucikan, penggunaannya adalah makruh atau tidak digalakkan. Hal ini kerana proses pendedahan kepada matahari boleh menyebabkan air tersebut menjadi tidak sihat dan bahaya untuk kesihatan jika terkena kulit atau tubuh badan.
4. Air mutanajis
Air yang bercampur dengan najis. Jika jumlah air mutlak yang besar (kolah) tercemar dengan najis dan mengubah salah satu sifatnya (warna, bau, atau rasa), ia tidak lagi boleh digunakan untuk bersuci.
5. Air Mutaghayyir
Air yang telah mengalami perubahan dalam salah satu sifatnya—warna, bau, atau rasa—kerana bercampur dengan bahan lain yang suci seperti gula, kopi, atau milo. Air ini masih suci tetapi tidak boleh digunakan untuk bersuci kerana telah berubah sifatnya.
Jadi, untuk tujuan bersuci, adalah lebih baik menggunakan air yang tidak mengalami perubahan sifat ini untuk memastikan bahawa ibadah yang dilakukan adalah sah dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan dalam Islam.