Jenis Najis : Mughallazah, Mutawassitah & Muhaffafah

By mukmin

Dalam perspektif Islam, najis merujuk kepada segala benda yang kotor. Solat menjadi tidak sah jika najis terdapat pada badan, pakaian, atau tempat solat.

Jenis-Jenis Najis

Setiap najis yang menghalang sahnya solat adalah sama dari segi kekotorannya. Namun, perbezaannya terletak pada cara ia dibersihkan mengikut hukum syarak.

Berikut adalah tiga kategori najis :

1. Najis Mukhaffafah (Najis Ringan)

Najis ringan iaitu air kencing kanak-kanak lelaki berusia di bawah dua tahun yang tidak makan atau minum sesuatu yang lain selain susu ibu. 

Cara menyucikan najis mukhaffafah:

Sekiranya air kencing kanak-kanak terkena pada badan, pakaian, atau permukaan, cukup basahkan seluruh bahagian yang terkena dengan najis tanpa perlu mengalirkannya. Kemudian, lap dengan kain bersih sehingga kering.

2. Najis Mutawassitah (Pertengahan)

Najis mutawassitah merupakan jenis najis yang perlu dibasuh dengan air mutlak. Najis pertengahan seperti darah, muntah, nanah, tahi, air kencing dan bangkai.

Cara menyucikan najis mutawassitah:

Najis mutawassitah tidak memerlukan dibasuh berulang kali seperti najis berat, tetapi juga tidak mencukupi hanya dengan memercikkan air ke atasnya seperti najis ringan.

  • Buang najis
  • Basuh tempat yang terkena najis dengan mengalirkan air
  • Pastikan hilang dan suci daripada warna, rasa dan bau

3. Najis Mughallazah (Berat)

Najis tersebut memerlukan lebih daripada sekadar dibasuh dengan air seperti najis-najis yang lain.

Cara membersihkan najis ini ialah dengan kaedah “sertu”, iaitu enam kali basuhan menggunakan air suci dan satu kali basuhan menggunakan air tanah.

Najis berat, iaitu anjing, khinzir, atau kacukan kedua-duanya serta segala yang ada kaitan dengannya seperti tahi, darah, kulit, daging, bulu dan lain-lain.

Cara menyucikan najis mughallazah:

Apabila najis ini terkena pada pakaian, badan, atau tempat, ia perlu dibersihkan dengan tujuh kali basuhan. Satu daripada tujuh basuhan itu hendaklah menggunakan campuran air dan tanah iaitu (1 air tanah + 6 kali air mutlak = 7 basuhan) sehingga hilang bau, warna dan rasa.

jenis-jenis najis

Najis Yang Dimaafkan

Ada masa di mana najis mungkin terkena pada tubuh atau sesuatu tempat yang sukar dikesan atau dielakkan. Jenis najis tertentu dimaafkan dalam ibadah dengan syarat-syarat tertentu, yang membolehkan ibadah dilakukan tanpa membersihkannya terlebih dahulu.

Antara jenis najis yang dimaafkan adalah seperti berikut:

  1. Percikan air kencing
  2. Darah atau nanah sendiri
  3. Darah daging jualan
  4. Tahi atau air kencing yang sedikit
  5. Sisa muntah kanak-kanak
  6. Tanah jalan
  7. Bulu haiwan yang dagingnya tidak dimakan
  8. Bangkai yang tidak mengalir darah

Leave a Comment