Dalam keadaan tiada air atau terhalang daripada menggunakannya, Islam memberikan kelonggaran dengan membolehkan tayammum sebagai ganti untuk tetap menyucikan diri.
Tayammum ialah cara bersuci tanpa menggunakan air, yang dilakukan dengan menggunakan debu bersih sebagai ganti wuduk atau mandi wajib, apabila seseorang tidak dapat menggunakan air atas sebab-sebab tertentu.
Bahan Tayamum
Menurut Mazhab Syafi‘i, tayammum hanya sah dilakukan dengan menggunakan tanah berdebu yang suci daripada najis serta belum digunakan (bukan tanah musta’mal).
Tanah musta‘mal merujuk kepada tanah yang telah digunakan semasa tayammum, sama ada yang melekat pada anggota seperti muka dan tangan, atau yang bertebaran selepas disapu — dan tidak lagi boleh digunakan untuk tayammum berikutnya.
Tanah daripada tempat yang ditepuk pertama kali tidak dihukumkan musta’mal dan boleh digunakan seberapa banyak kali walaupun kuantitinya sedikit.
Rukun Tayamum
Tayamum mempunyai empat rukun utama, iaitu:
- Niat : نَوَيْتُ التَّيَمُّمَ لِاسْتِبَاحَةِ فَرْضِ الصَّلَاةِ لِلَّهِ تَعَالَى
- Maksudnya: “Sahaja aku bertayamum untuk mengharuskan solat kerana Allah Taala.”
- Menyapu debu tanah yang suci ke seluruh muka
- Menyapu debu tanah yang suci pada kedua-dua belah tangan hingga ke siku
- Tertib
Syarat-Syarat Tayamum
Berikut ialah syarat-syarat tayamum
- Mengetahui waktu solat telah masuk
- Ketiadaan air atau tidak dapat menggunakan air. Contohnya:
- Tiada air setelah usaha mencarinya.
- Air ada, tetapi hanya cukup untuk minum.
- Penggunaan air boleh memudaratkan kesihatan (kerana sakit, luka, sejuk melampau, dll).
- Dengan debu yang bersih
- Menghilangkan najis terlebih dahulu
- Menentukan kiblat sebelum bertayammum.
Cara-Cara Tayamum
Berikut adalah cara-cara tayamum:
- Letakkan kedua-dua tapak tangan di atas debu tanah yang bersih dan suci.
- Sapukan debu suci ke muka sambil berniat di dalam hati.
- Menepis atau menghilangkan debu yang telah digunakan.
- Letakkan semula kedua tapak tangan pada debu tanah yang suci, kemudian nipiskan debu itu sebelum menyapu ke kedua-dua tangan.
- Ambil debu yang suci, sapukan pada tapak tangan kiri ke bahagian bawah tapak tangan kanan hingga ke siku.
- Ulangi sapuan debu suci dengan tangan kanan ke bahagian bawah tangan kiri hingga selesai.



