Faraid : Kaedah Pembahagian Harta Dalam Islam

By mukmin

Faraid ialah satu istilah dalam Islam yang merujuk kepada pembahagian harta pusaka seseorang Muslim yang telah meninggal dunia. Ia menentukan siapakah waris yang layak menerima harta pusaka seseorang yang telah meninggal dunia, serta kadar atau bahagian yang sepatutnya diterima oleh setiap waris.

Tujuan faraid:

  • Menjamin keadilan dalam pengagihan harta.
  • Melindungi hak waris-waris yang berhak.
  • Mengelakkan pergaduhan dan perebutan harta.
  • Mendidik umat Islam agar mengurus harta dengan amanah.
  • Memastikan harta tidak dibazirkan dan dimanfaatkan oleh keluarga si mati.

Rukun Pusaka Faraid

Sistem faraid hanya boleh digunakan apabila tiga rukun utamanya dipenuhi. Jika salah satu daripadanya tiada, pembahagian faraid tidak dapat dijalankan.

  1. Si mati – ialah orang yang telah meninggal dunia dan meninggalkan harta untuk dibahagikan kepada waris.
  2. Waris – ialah individu yang berhak menerima harta pusaka si mati, sama ada melalui hubungan perkahwinan, pertalian darah (keturunan), pembebasan hamba, atau kerana sama-sama beragama Islam
  3. Harta – ialah semua perkara yang dimiliki oleh si mati semasa hayatnya, seperti harta benda, hak dan apa sahaja yang berada dalam miliknya, yang kemudian ditinggalkan untuk dibahagikan kepada waris selepas kematiannya.

Waris Yang Layak Menerima Harta Pusaka

Waris yang berhak menerima harta pusaka terbahagi kepada lelaki dan perempuan. Jantina waris perlu dikenal pasti dengan jelas kerana ia menentukan sama ada mereka menerima bahagian tetap (fardu) atau baki harta (asobah).

Ini ialah senarai waris yang layak menerima harta pusaka mengikut sistem faraid:

Waris Lelaki

  • Anak lelaki
  • Cucu lelaki daripada anak lelaki dan ke bawah
  • Bapa
  • Datuk sebelah bapa (bapa kepada bapa) dan ke atas
  • Saudara seibu sebapa lelaki
  • Saudara sebapa lelaki
  • Saudara seibu lelaki
  • Anak saudara seibu sebapa lelaki dan ke bawah
  • Anak saudara sebapa lelaki dan ke bawah
  • Bapa saudara seibu sebapa
  • Bapa saudara sebapa
  • Anak lelaki kepada bapa saudara seibu sebapa dan ke bawah
  • Anak lelaki kepada kepada bapa saudara sebapa dan ke bawah
  • Suami
  • Tuan yang membebaskan hamba

Jika seseorang meninggal dunia meninggalkan semua waris lelaki sahaja tanpa waris perempuan, hanya 3 waris lelaki sahaja yang layak mewarisi pusaka berdasarkan sistem faraid, iaitu:

  • Bapa
  • Suami
  • Anak Lelaki

Waris Perempuan

  • Anak perempuan
  • Cucu perempuan daripada Anak lelaki dan ke bawah
  • Ibu
  • Nenek sebelah ibu dan ke atas
  • Nenek sebelah bapa dan ke atas
  • Saudara seibu sebapa perempuan
  • Saudara sebapa perempuan
  • Saudara seibu perempuan
  • Isteri
  • Tuan yang membebaskan hamba

Jika si mati hanya meninggalkan waris perempuan tanpa waris lelaki, hanya lima orang waris perempuan yang layak menerima harta pusaka mengikut sistem faraid, iaitu:

  • Anak perempuan
  • Cucu perempuan daripada anak lelaki (jika simati hanya ada seorang anak perempuan)
  • Ibu
  • Saudara perempuan seibu sebapa
  • Isteri

Leave a Comment