10 Amalan Sunnah Mudah Untuk Diamalkan Setiap Hari

By mukmin

Sebagai seorang Muslim, meninggalkan sunnah Rasulullah SAW menjadikan kehidupan kita kurang lengkap.

Sunnah merangkumi segala perkataan, perbuatan, atau persetujuan (iqrar) Nabi Muhammad SAW. Banyak amalan sunnah baginda yang mudah diikuti dan boleh dijadikan teladan dalam kehidupan seharian umatnya.

Memang benar, kita telah menunaikan solat fardu lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan, menunaikan zakat, atau mengerjakan haji. Namun, tiada salahnya jika kita turut menambahkan amalan-amalan sunnah lain dalam kehidupan seharian untuk mendekatkan diri kepada Allah. Ingatlah, walau sekecil mana pun kebaikan yang kita lakukan, ia tetap bernilai di sisi Allah SWT.

Berikut adalah beberapa amalan sunnah yang mudah dilakukan setiap hari:

1. Mengucap ‘Bismillah’ sebelum memulakan sesuatu

Sama ada sebelum makan, minum, bekerja, atau memulakan apa-apa aktiviti. Amalan ini mudah tetapi membawa keberkatan dalam setiap pekerjaan.

2. Memberi Senyuman

Sunnah Rasulullah SAW menyatakan senyuman kepada orang lain adalah sedekah. Amalan mudah ini menyebarkan kebaikan kepada diri sendiri dan orang lain.

3. Membaca Al-Quran

Walaupun hanya satu ayat sehari, membaca Al-Quran mendekatkan diri kepada Allah dan mendatangkan pahala.

4. Berzikir dan Membaca Selawat

Mengucap tasbih (Subhanallah), tahmid (Alhamdulillah), takbir (Allahu Akbar), dan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Amalan ini boleh dilakukan bila-bila masa.

5. Membantu atau Menyantuni Orang Lain

Memberi salam, menolong rakan, atau mendoakan orang lain adalah amalan sunnah yang mudah tetapi sangat bermakna.

6. Mengucap salam & bersalaman

Apabila bertemu dengan sesama Muslim, disunatkan untuk kita mengucapkan salam, “Assalamualaikum atau Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh”, sama ada pada orang yang kita kenal atau tidak. Kemudian, bersalam-salaman.

Hal ini seperti sabda Baginda,

“Keutamaan dalam Islam adalah dengan memberi makan dan mengucapkan salam pada orang yang kamu kenali atau tidak kenal.” [Hadis Riwayat Bukhari Dan Muslim]

7. Sunnah bangun dari tidur

Setelah bangun tidur, disunatkan untuk mengusap wajah dengan tangan, seperti sabda Nabi saw;

“Rasulullah bangun tidur kemudian duduk sambil mengusap wajahnya dengan tangannya.” [Hadis Riwayat Muslim]

Kemudian, membaca doa;

“Alhamdulillahillazi ahyana ba’da ma amatana wa ilaihinnusyur (Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami setelah kami dimatikanNya dan kepadanNyalah kami dikembalikan). [HR Bukhari]

8. Dahulukan kaki kanan semasa pakai & kaki kiri saat tanggalkan selipar

Nabi Muhammad SAW menggalakkan setiap umatnya supaya mendahulukan anggota kanan dan kemudiannya diikuti anggota kiri dalam setiap perkara yang dilakukan seharian.

“Jika kalian memakai sandal maka dahulukanlah kaki kanan. Dan jika melepaskannya, maka dahulukanlah kaki kiri. Jika memakainya maka hendaklah memakai keduanya atau tidak memakai keduanya sekali.” (HR. Al-Bukhari dan Muslim)

9. Solat sunat rawatib

Solat sunat sebelum atau selepas solat fardhu.

10. Ketika masuk & keluar rumah

Ketika hendak keluar rumah, disunatkan membaca doa ini

بِسْمِ اللَّهِ، تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ، وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ

“Bismillahi tawakkaltu alallah, wa la haula wala quwwata illa billah

Maksudnya: Dengan nama Allah, aku bertawakkal kpd Allah. Dan tiada daya & kekuatan kecuali dgn pertolongan Allah).” [HR Abu Daud, At-Tirmizi]

Manakala ketika hendak masuk ke dalam rumah pula, disunatkan untuk mengucapkan bismillah, memperbanyakkan zikir kepada Allah dan mengucapkan salam sama ada rumah tersebut ada orang atau tidak.

Ini kerana syaitan akan berkongsi tempat tinggal dengan kita, apabila penghuninya tidak menyebut nama Allah ketika memasukinya.

Leave a Comment