Wuduk : Cara Berwudhuk,Rukun Sunat, Bacaan Doa Selepas wuduk

Erti Wuduk Wuduk menurut bahasa ertinya bersih dan indah, sedangkan menurut syarak ertinya membersihkan anggota wuduk untuk menghilangkan hadas kecil. Orang yang hendak melaksanakan solat, wajib lebih dahulu berwuduk, kerana wuduk adalah menjadi syarat sahnya solat.

Syarat Wuduk

  1. Islam.
  2. Mumaiyiz, kerana wuduk itu ibadat yang wajib berniat, sedangkan orang yang tidak beragama Islam dan belum mumaiyiz tidak diberi hak untuk berniat.
  3. Tidak berhadas besar.
  4. Dengan air yang suci lagi menyucikan.
  5. Tidak ada yang menghalangi sampainya air ke kulit, seperti getah dan sebagainya.

Rukun-Rukun (Fardu) Wuduk

  1. Niat. Hendaklah berniat menghilangkan hadas kecil. Lafaz niat wuduk ialah: “Sahaja aku berwuduk untuk menghilangkan hadas kecil, fardu kerana Allah Taala.”
  2. Membasuh muka. Kawasan muka yang wajib dibasuh ialah dari tempat tumbuh rambut daripada sebelah atas sampai kedua tulang dagu sebelah bawah, lintangnya dari telinga ke telinga. Seluruh bahagian muka tersebut wajib dibasuh tidak boleh ditinggalkan sedikitpun, bahkan wajib dilebihkan sedikit supaya kita yakin terbasuh.
  3. Membasuh kedua tangan sampai ke siku. Siku juga wajib dibasuh.
  4. Menyapu sebahagian daripada kepala dengan air.
  5. Membasuh kedua kaki sampai kedua mata kaki atau tumit.
  6. Mentertibkan rukun-rukun di atas, selain daripada niat dan membasuh muka, keduanya wajib dilakukan bertertib dan didahulukan daripada yang lain satu persatu secara tertib.

Sunat-Sunat Wudhuk

  1. Membaca Basmalah (membaca nama Allah) pada permulaan wuduk.
  2. Membasuh kedua telapak tangan sampai pergelangan.
  3. Berkumur-kumur.
  4. Membasuh lubang hidung sebelum berniat.
  5. Menyapu seluruh kepala dengan air.
  6. Mendahulukan anggota kanan daripada kiri.
  7. Menyapu kedua telinga luar dan dalam.
  8. Membasuh tiga kali berturut-turut.
  9. Menyela-nyela jari tangan dan kaki.
  10. Membaca doa sesudah wuduk.

Perkara-Perkara Yang Membatalkan Wuduk Diantaranya ialah:

  1. Keluar sesuatu dari dua saluran (qubul dan dubur) atau dari salah satu dari keduanya, sama ada yang keluar itu berupa benda atau angin yang biasa atau yang tidak biasa seperti darah, atau yang keluar itu najis atau ulat.
  2. 2. Hilang akal; hilang akal kerana mabuk atau gila.
  3. Tidur; terbatal wuduk jika tidur yang tidak tertutup lempat keluar angin, tetapi orang tidur dengan duduk yang tetap, tidaklah batal wuduknya.
  4. Bersentuhan kulit lelaki dengan kulit perempuan.
  5. Bersentuhan itu wuduk yang menyentuh dan yang disentuh batal, dengan syarat kedua-duanya sudah mencapai umur dan keduanya bukan mahram, baik mahram dari segi keturunan, pertalian persaudaraan, atau mahram perkahwinan.
  6. Menyentuh kemaluan atau pintu dubur dengan perut telapak tangan baik pada kemaluan sendiri atau kemaluan orang lain, baik anak-anak atau orang dewasa.

Cara Berwuduk

Orang yang hendak mengerjakan solat wajib lebih dahulu berwuduk, kerana wuduk syarat sahnya solat. Sebelum berwuduk kita wajib membersihkan dulu najis-najis yang ada di badan, jika memang ada padanya najis. Cara mengerjakan wuduk ialah:

  1. Membaca Basmalah (بسم الله الرحمن الرحيم), sambil mencuci pergelangan kedua tangan.
  2. Selesai membersihkan tangan, terus berkumur-kumur tiga kali sambil membersihkan gigi.
  3. Selesai berkumur, terus mencuci kedua lubang hidung tiga kali.
  4. Selesai mencuci lubang hidung, terus mencuci muka tiga kali mulai dari tempat tumbuhnya rambut kepala hingga bawah dagu, dan dari anak telinga kanan hingga ke kiri, sambil niat wuduk sebagai berikut: “Sahaja aku berwuduk untuk menghilangkan hadas kecil, fardu kerana Allah Taala.”
  5. Selesai membasuh muka, lalu mencuci kedua tangan hingga siku tiga kali.
  6. Selesai mencuci kedua belah tangan, terus menyapu sebahagian rambut kepala tiga kali.
  7. Selesai menyapu rambut kepala, terus menyapu kedua belah telinga tiga kali.
  8. Dan yang terakhir, mencuci kedua belah kaki tiga kali, dari kesemua jari kaki sampai kedua mata kaki (buku Keterangan: Dalam melaksanakan pekerjaan-pekerjaan tersebut di atas, wajib dikerjakan dengan berturut-turut, yang wajib dahulu didahulukan dan yang wajib akhir diakhirkan).

Doa Sesudah Berwuduk

Selesai berwuduk, disunatkan membaca doa sambil menghadap ke kiblat, mengangkat kedua belah tangan, dan sedikit menghadap ke atas. Lafaz doa sesudah wuduk ialah:

“Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah yang tunggal dan tidak ada sekutu bagi-Nya. Dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad adalah hamba-Nya dan utusan-Nya. Ya Allah, jadikanlah aku orang yang ahli taubat, dan jadikanlah aku orang yang suci serta termasuk dalam golongan hamba-hamba-Mu yang soleh.

Kesimpulan: Berwuduk adalah suatu amalan yang penting dalam agama Islam sebagai persiapan untuk melaksanakan solat. Wuduk memiliki syarat-syarat sah, rukun-rukun fardu, dan sunat-sunat yang harus diperhatikan. Beberapa perkara dapat membatalkan wuduk, seperti keluarnya sesuatu dari saluran dubur atau qubul, kehilangan akal, tidur dengan keluarnya angin, serta bersentuhan dengan kemaluan atau pintu dubur dengan perut atau telapak tangan. Proses berwuduk dilakukan secara berturut-turut dengan mengikuti langkah-langkah yang ditentukan, sambil mengucapkan niat. Setelah selesai berwuduk, disunnahkan untuk membaca doa sesudah wuduk. Semoga dengan menjalankan wuduk dengan baik, kita dapat mendapatkan kesucian dan kesiapan dalam menjalankan ibadah solat.

Leave a Comment