Sebelum melangsungkan perkahwinan, penting untuk memahami urutan wali nikah. Dalam artikel kali ini, kami akan berkongsi tentang urutan wali nikah dalam Islam sebagai panduan dan rujukan untuk semua.
Apa Itu Wali Nikah?
Wali nikah dalam Islam merujuk kepada orang yang diberi tanggungjawab untuk mewakili seorang perempuan (pengantin perempuan) dalam akad nikah. Tugas utama wali adalah memastikan bahawa pernikahan itu sah, sesuai syarak, dan dilakukan demi kebaikan pengantin perempuan.
Syarat Sah Wali
Wali merupakan salah satu syarat sah nikah, bukan semua orang layak menjadi wali. Menurut jumhur fuqaha, terdapat beberapa syarat yang mesti dipenuhi agar seseorang sah menjadi wali.
- Islam
- Baligh (sekurang-kurangnya sudah berumur 15 tahun).
- Berakal : Orang gila, mabuk dan orang yang sangat bodoh tidak sah menjadi wali.
- Lelaki : Orang perempuan tidak sah menjadi wali.
- Adil
- Merdeka
*Bagi orang buta atau bisu pula, mereka diharuskan menjadi wali kerana ia boleh menimbang dan memikirkan mengenai soal kufu dan hal-hal kepentingan kepada wanita. Selagi mana, ia boleh memahami isyarat serta tulisan dan memenuhi syarat-syarat sah menjadi wali.
Susunan Wali Nikah Mengikut Tertib
Berikut merupakan carta turutan wali yang penting untuk anda ketahui:
- Bapa kandung
- Datuk sebelah bapa ke atas
- Saudara lelaki seibu-sebapa
- Saudara lelaki sebapa
- Anak saudara lelaki seibu-sebapa
- Anak saudara lelaki sebapa
- Bapa saudara sebelah bapa seibu-sebapa
- Bapa saudara sebelah bapa sebapa
- Anak lelaki bapa saudara sebelah bapa seibu-sebapa ke bawah
- Anak lelaki bapa saudara sebelah bapa sebapa ke bawah
- Bapa saudara seibu-sebapa
- Bapa saudara bapa sebapa
- Anak lelaki bapa saudara seibu-sebapa
- Anak lelaki bapa saudara sebapa ke bawah
- Bapa saudara datuk seibu-sebapa
- Bapa saudara datuk sebapa
- Anak lelaki bapa saudara datuk seibu-sebapa ke bawah
- Anak lelaki bapa saudara datuk sebapa ke bawah
- Muktiq (tuan kepada hamba perempuan yang dibebaskan).
- Sekalian asabah kepada seorang muktiq
- Wali Hakim