Hukum Puasa Bagi Ibu Hamil & Menyusu

By mukmin

Setiap kali Ramadan tiba, media sosial pasti dipenuhi dengan pelbagai perkongsian yang mengingatkan ibu hamil dan ibu menyusukan agar tidak sewenang-wenangnya meninggalkan puasa.

Bagi ibu yang sudah berpengalaman, perkongsian seperti ini mungkin tidak memberi kesan kerana mereka sudah faham keadaan yang membolehkan puasa ditinggalkan atau meneruskan puasa seperti biasa.

Akan tetapi, bagi ibu muda atau yang hamil buat pertama kali, sindiran, nasihat dan peringatan yang tular di media sosial boleh memberi tekanan emosi. Tidak hairanlah jika mereka berasa risau terhadap keadaan diri dan keselamatan bayi, terutama menjelang Ramadan.

Apakah hukum berpuasa bagi wanita hamil dan ibu yang menyusukan anak?

Seperti yang diketahui umum, terdapat golongan yang diberikan keringanan (rukhsah) daripada menunaikan ibadah puasa, antaranya ialah wanita hamil dan ibu yang menyusukan anak. Keringanan ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ

Maksudnya: Dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.

Al-Baqarah (184)

Menurut kenyataan Imam al-Syafie ketika membahaskan ayat di atas bahawa wanita yang hamil sekiranya khuatir akan keselamatan janinnya maka dibolehkan untuk berbuka, dan begitu juga bagi wanita yang menyusukan sekiranya memudaratkan susunya dengan mudarat yang jelas (maka dibolehkan berbuka). Selain itu, terdapat hadis Nabi SAW yang memberikan keringanan (rukhsah) yang disyariatkan dalam ibadah puasa.

إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى وَضَعَ عَنِ الْمُسَافِرِ الصَّوْمَ وَشَطْرَ الصَّلاَةِ، وَعَنِ الْحَامِلِ أَوِ الْمُرْضِعِ الصَّوْمَ أَوِ الصِّيَامَ

MaksudnyaSesungguhnya Allah SWT memberi keringanan kepada orang yang musafir dengan separuh solat, wanita hamil dan wanita yang menyusukan anaknya.

Riwayat al-Tirmizi (715)

Setelah itu, wanita yang diberikan keringanan berbuka puasa ini perlu lah untuk menggantikan puasa sahaja atau berpuasa dan membayar fidyah berdasarkan dua situasi yang berbeza. Hal ini merujuk kepada kenyataan Imam Abu Syuja’:

والحامل والمرضع: إن خافتا على أنفسهما أفطرتا وعليهما القضاء وإن خافتا على أولادهما أفطرتا وعليهما القضاء والكفارة، عن كل يوم مد

Maksudnya: Wanita yang hamil dan menyusukan anak; sekiranya mereka bimbangkan dirinya lalu dia berbuka puasa dan wajib bagi dirinya menggantikan puasa. Namun jika bimbangkan (keselamatan) anaknya lalu dia berbuka dan wajib baginya menggantikan puasa dan kaffarah (bayar fidyah) sebanyak satu cupak untuk satu hari. (Rujuk: Matan al-Ghayah wa al-Taqrib, 19)

Berdasarkan kenyataan diatas terdapat beberapa keadaan wanita hamil atau menyusukan dan kewajipan yang perlu ditunaikan setelah mendapat keringanan (rukhsah) berbuka puasa seperti berikut:

  • Sekiranya wanita hamil atau menyusukan anak itu bimbang keselamatan atau kesihatan dirinya, maka mereka dibolehkan untuk berbuka dan wajib menggantikan puasa sahaja.
  • Sekiranya wanita hamil atau menyusukan anak itu bimbang akan diri dan juga anak mereka, maka dibolehkan untuk berbuka puasa dan wajib menggantikan puasa sahaja.
  • Sekiranya wanita hamil atau menyusukan anak itu bimbang akan anak mereka sahaja, maka dibolehkan untuk berbuka puasa dan wajib menggantikan puasa tersebut dan membayar fidyah bagi setiap hari yang mereka tidak berpuasa.

Sementara itu, keringanan ini juga merangkumi wanita yang sedang hamil atau menyusukan anak hasil daripada perbuatan zina. Hal ini dijelaskan oleh Sheikh Shata al-Simyati tentang keringanan puasa bagi wanita hamil:

قول: ويجب المد مع القضاء: على حامل أي ولو من زنا

Maksudnya: Diwajibkan (membayar fidyah sebanyak) secupak dan menggantikan (puasa) ke atas wanita yang sedang hamil meskipun (kehamilan tersebut hasil) dari perbuatan zina.(Rujuk: I’anah al-Tolibin, 2/273)

KESIMPULAN

Berdasarkan kenyataan dan perbahasan para ulama di atas, dapat difahami bahawa keringanan (rukhsah) untuk berbuka puasa bagi wanita hamil dan menyusukan anak turut merangkumi wanita yang hamil atau menyusukan anak hasil daripada perzinaan, tanpa sebarang pengecualian. Oleh itu, wanita yang berada dalam keadaan tersebut juga dibenarkan berbuka puasa sekiranya timbul kebimbangan terhadap keselamatan diri, janin dalam kandungan atau anak yang sedang disusukan, sama seperti wanita lain.

Leave a Comment