Kaabah ialah sebuah binaan berbentuk kubus yang terletak di tengah-tengah Masjidil Haram di Mekah, Arab Saudi. Ia merupakan tempat paling suci dalam agama Islam dan arah yang dituju (qiblat) oleh umat Islam ketika menunaikan solat.
Setiap Muslim pasti menyimpan impian untuk menjejakkan kaki ke Mekah. Namun begitu, tidak semua berpeluang ke sana atau mampu menunaikannya disebabkan pelbagai halangan, khususnya dari segi kewangan.
Bagi mereka yang belum berpeluang menjejakkan kaki ke Mekah, menitipkan doa kepada individu yang bakal ke sana merupakan satu peluang yang sangat berharga dan amat dinantikan. Ini kerana Kaabah merupakan antara tempat paling mustajab untuk berdoa.
Doa Pertama Kali Melihat Kaabah
Apabila Nabi Muhammad SAW pertama kali melihat Kaabah, Baginda SAW mengangkat tangan dan membaca doa ini:
الَّلهُمَّ زِدْ هّذَا البَيْتَ تَشْرِيفاً وَتَعْظِيماً وَتَكْرِيماً وَمَهَابَةً، وَزِدْ مَن شَرَّفَهُ وَكَرَّمَهُ مِمَّنْ حَجَّهُ أَو اعتَمَرَهُ تَشرِيفاً وَتَكرِيماً وَتَعظِيماً وَبِرّاً
Maksudnya: “Ya Allah, tambahkanlah kemuliaan, penghormatan, dan keagungan kepada rumah ini, dan tambahkanlah kemuliaan, penghormatan, dan keagungan kepada sesiapa yang memuliakan dan menghormatinya, sama ada mereka yang menunaikan haji atau umrah, sebagai bentuk kemuliaan, penghormatan, dan keagungan, serta sebagai bentuk ketaatan.”
Contoh Doa Depan Kaabah
Mengirim doa ke Mekah boleh dilakukan dengan menulis hajat atau permintaan doa, kemudian diserahkan kepada individu yang akan berangkat ke sana. Berikut merupakan beberapa contoh doa yang sering dititipkan:
Doa 1 – Contoh Doa untuk Keampunan dan Jodoh
“Ya Allah, dengan penuh rendah hati aku menadah tangan memohon kepada-Mu, Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Limpahkanlah keberkatan dalam kehidupan [NAMA] dan keluarganya, di dunia mahupun di akhirat. Kurniakanlah kepada mereka kekuatan, kesabaran, dan keikhlasan dalam menghadapi setiap ujian-Mu.
Dan jika telah tiba waktunya, pertemukanlah [NAMA] dengan jodoh yang Engkau redai — seorang insan yang dapat membimbingnya ke arah jalan-Mu, menjadi teman sejati, penyejuk hati, dan pendamping setia dalam menempuh liku-liku kehidupan. Satukanlah hati mereka dalam cinta yang diredai, saling menghormati, menyayangi, dan mendukung antara satu sama lain dalam setiap langkah menuju keredaan-Mu.”
Doa 2 – Doa Disembuhkan Penyakit
“Ya Allah Ya Rahman, Ya Allah Ya Rahim, Tuhan sekalian alam.
[NAMA] telah menitipkan doa ini untukku sampaikan di hadapan Kaabah-Mu yang mulia. Maka dengan penuh rendah diri, aku memohon kepada-Mu, Ya Allah, ampunilah segala dosa-dosanya sama ada dosa kecil mahupun dosa besar.
Ya Allah, Engkau Maha Penyembuh, sembuhkanlah [NAMA] daripada penyakit [NAMA PENYAKIT] yang sedang ditanggungnya. Kasihanilah dia, Ya Allah. Dengan segala usaha, ikhtiar, doa dan tawakkal yang telah dipanjatkannya selama ini, kami memohon agar Engkau kurniakan kesembuhan yang sempurna.
Sembuhkanlah [NAMA], Ya Allah. Sembuhkanlah dengan kasih sayang-Mu, sebagaimana Engkau menyembuhkan hamba-hamba-Mu yang terpilih.”
Doa 3 – Doa agar dikurniakan zuriat
“Ya Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, dengan penuh kerendahan hati kami bermunajat kepada-Mu. Ampunilah segala dosa dan khilaf kami sepanjang hidup ini.
Ya Allah, ampunilah [NAMA] dan seluruh ahli keluarganya. Kurniakanlah kepada mereka petunjuk dan bimbingan agar sentiasa berada di jalan-Mu yang lurus, jalan yang Engkau redai.
Wahai Tuhan Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengabulkan doa, kurniakanlah kepada [NAMA] zuriat yang soleh dan solehah, yang menjadi penyejuk mata, penawar hati, serta pewaris perjuangan menegakkan agama-Mu. Jadikanlah keturunannya insan yang membanggakan agama, bangsa, dan keluarganya.
Ya Allah, jadikanlah setiap langkah yang diambil oleh [NAMA] dan keluarganya sebagai amal yang membawa bekalan menuju akhirat. Pandulah mereka untuk sentiasa melakukan kebaikan dan menjauhi segala larangan-Mu. Permudahkanlah segala urusan mereka di dunia ini dan tanamkan dalam hati mereka rasa syukur atas setiap nikmat-Mu.
Ya Allah, terimalah segala amal kebaikan [NAMA] dan keluarganya, angkatlah darjat mereka di sisi-Mu, dan tempatkanlah mereka di syurga-Mu yang tertinggi. Kurniakanlah kepada mereka kebahagiaan yang hakiki, di dunia dan di akhirat. Aamiin Ya Rabbal ‘Alamin.”