Adab Makan Dalam Islam Yang Sering Terlepas Pandang

By mukmin

Adab makan dalam Islam merujuk kepada tata cara, etika, dan amalan yang disyariatkan semasa makan agar selaras dengan ajaran Islam. Ia bukan sekadar tentang apa yang dimakan, tetapi juga cara makan, adab semasa makan, dan sikap terhadap rezeki.

Seperti yang kita sedia maklum, konten mukbang atau ulasan makanan kini menjadi kegemaran ramai anak muda. Namun, masalah timbul apabila sesetengah daripada mereka mengabaikan adab makan yang dituntut dalam Islam.

Dalam artikel kali ini, kami akan berkongsi panduan adab makan dalam Islam yang boleh anda amalkan dalam kehidupan seharian.

Adab Makan Rasulullah

Antara adab makan yang diajar oleh Rasulullah SAW ialah membaca doa sebelum makan dan menggunakan tangan kanan. Selain itu, terdapat beberapa sunnah lain yang boleh diamalkan untuk menjadikan cara makan kita lebih beradab dan selari dengan ajaran Islam.

1. Membersihkan diri sebelum makan

Islam menekankan kebersihan sebelum menyentuh makanan. Ini termasuk mencuci tangan dan memastikan diri dalam keadaan bersih. Kebersihan adalah sebahagian daripada iman.

2. Membaca Bismillah dan doa ketika hendak makan

Sebelum makan, dianjurkan untuk mengucapkan “Bismillah” dan doa terlebih dahulu . Ini menunjukkan kesyukuran kepada Allah atas rezeki yang diberikan dan memohon keberkatan dalam makanan tersebut.

Nabi Muhammad SAW bersabda:

إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ طَعَامًا فَلْيَقُلْ: بِسْمِ اللَّهِ، فَإِنْ نَسِيَ فِي أَوَّلِهِ فَلْيَقُلْ: بِسْمِ اللَّهِ فِي أَوَّلِهِ وَآخِرِهِ

Maksudnya: “Sekiranya seorang daripada kamu hendak makan, sebutlah nama Allah (Bismillah). Sekiranya dia terlupa (menyebut nama Allah) pada awal (mula makan), maka sebutlah ‘Bismillahi awwaluhu wa akhirahu’ (Dengan nama Allah pada awal dan akhirnya).” (HR al-Tirmizi, hadis hasan sahih)

3. Makan dengan tangan kanan

Tangan kanan digunakan untuk makan dan minum kerana tangan kiri biasanya digunakan untuk perkara yang najis atau kurang bersih. Maka sangat tidak elok jika digunakan tangan yang sama untuk masukkan rezeki ke dalam mulut.

4. Makan secara sederhana

Jangan makan berlebihan. Makan terlalu banyak boleh menjejaskan kesihatan dan menyebabkan pembaziran.

5. Mengambil makanan dari bahagian dekat

Jika makan bersama orang lain, ambil makanan yang dekat dengan diri dan jangan berebut. Ini menunjukkan adab sopan dan menghormati orang lain.

6. Rasulullah makan tidak bersandar

Makan sambil bersandar menunjukkan sikap sombong terhadap rezeki dan Pemberi Rezeki. Sebaliknya, makan dengan tertib dan cermat menandakan sikap rendah diri dan rasa syukur kepada Allah SWT.

7. Menjilat jari selepas makan 

Menjilat jari selepas makan merupakan salah satu sunnah Rasulullah SAW. Tindakan kecil ini bukan sekadar sopan, malah bertujuan untuk meraih keberkatan, kerana rezeki yang masih tersisa di jari itulah yang mungkin mengandungi keberkatan dari Allah.

Nabi Muhammad SAW bersabda:

إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَلْعَقْ أَصَابِعَهُ، فَإِنَّهُ لَا يَدْرِي فِي أَيَّتِهِنَّ الْبَرَكَةُ

Maksudnya: “Apabila salah seorang daripada kamu makan maka jilatlah jari-jarinya kerana sesungguhnya dia tidak tahu di manakah tempat yang mempunyai keberkatan.” (HR Muslim, hadis sahih)

8. Tidak mencela makanan

Adab ini seharusnya menjadi teladan setiap kali menerima makanan, kerana di luar sana masih ramai insan yang terpaksa mencari sisa makanan dalam timbunan sampah, menanggung kelaparan, atau menghadapi kekurangan rezeki. Dengan mengamalkan adab ini, kita bukan sahaja menghargai pemberian Allah, malah menanam kesedaran tentang nikmat yang sering dilupakan.

9. Makan di atas lantai

Apabila makan, Nabi Muhammad SAW akan meletakkan makanan di atas lantai (beralaskan saprah). Hal ini disebutkan didalam hadis daripada Anas bin Malik r.a. berkata:

مَا أَكَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى خِوَانٍ وَلَا فِي سُكْرُجَةٍ وَلَا خُبِزَ لَهُ مُرَقَّقٌ قُلْتُ لِقَتَادَةَ عَلَامَ يَأْكُلُونَ قَالَ عَلَى السُّفَر

Maksudnya: “Nabi Muhammad SAW tidak pernah makan di atas meja dan tidak pula dengan piring. Dan beliau tidak pernah dibuatkan roti empuk.” Aku bertanya kepada Qatadah, “Lalu di atas hamparan apa beliau makan?” ia menjawab, “Di atas daun kurma.”

10. Makan minum sambil duduk

Duduk semasa makan lebih sopan dan membantu penghadaman. Makan atau minum sambil berdiri sebenarnya menunjukkan adab yang buruk terhadap makanan. Ia bukan cara yang sihat ketika makan dan boleh datangkan kemudaratan.

11. Membaca doa selepas makan

Membaca doa sebelum dan selepas makan adalah sebagai tanda terima kasih kita kepada Allah SWT.

Rasulullah SAW juga ada bersabda:

مَنْ أَكَلَ طَعَامًا ثُمَّ قَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَطْعَمَنِي هَذَا الطَّعَامَ وَرَزَقَنِيهِ مِنْ غَيْرِ حَوْلٍ مِنِّي وَلَا قُوَّةٍ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ وَمَا تَأَخَّرَ

Maksudnya: “Siapa memakan makanan kemudian membaca doa: “Segala puji bagi Allah yang telah memberikan makanan ini kepadaku sebagai rezeki, tanpa daya dan kekuatan dariku.”

Maka akan diampuni dosanya yang lalu dan yang akan datang.” – (Hadis Riwayat Abu Daud, hadis hasan)

Mudah-mudahan dengan makanan tersebut kita mendapat tenaga, diberi kelangsungan untuk hidup, tidak tersiksa dengan kebuluran, menjadikan kita hamba yang bersyukur, dll.

12. Tangguhkan solat jika makanan telah terhidang

Adab ini bertujuan supaya seseorang tidak merasa lapar dan dapat menunaikan solat dengan khusyuk. Nikmatilah juadah secukupnya hanya untuk melepaskan rasa teringin, tanpa berlebihan.

Bimbang terlalu banyak akan menyukarkan pergerakan solat yang akan diilakukan. Daripada Anas bin Malik r.a., Nabi SAW bersabda:

إِذَا وُضِعَ العَشَاءُ وَأُقِيمَتِ الصَّلاَةُ، فَابْدَءُوا بِالعَشَاء

Maksudnya: “Apabila dihidangkan makanan (makan malam) dalam keadaan solat didirikan maka mulakanlah dengan makanan.” (HR Bukhari, hadis sahih)

Sama kita contohi dan mengamalkan adab pemakanan gaya Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian. Moga bermanfaat.

Kesimpulan

Adab makan dalam Islam mengajar kita untuk bersih, sederhana, sopan, dan bersyukur kepada Allah. Amalan ini bukan sahaja baik untuk kesihatan, tetapi juga membentuk akhlak yang mulia.

Leave a Comment