Solat jamak bermaksud menghimpunkan dua solat fardu dalam satu waktu solat. Ia merupakan salah satu rukhsah (keringanan) yang Allah berikan kepada hamba-Nya dalam keadaan tertentu.
Antara persoalan yang sering ditanya: Berapakah jarak perjalanan yang membolehkan solat jamak?”
Solat yang Boleh Dijamak
Hanya dua pasangan solat fardu yang boleh dijamak:
- Zuhur dengan Asar
- Maghrib dengan Isyak
Solat Subuh tidak boleh dijamak dengan mana-mana solat lain.
Jenis Solat Jamak
1. Jamak Taqdim
- Menghimpunkan dua solat pada waktu solat pertama.
- Contoh: Solat Zohor dan Asar dilakukan sekali pada waktu Zohor.
2. Jamak Ta’khir
- Menghimpunkan dua solat pada waktu solat kedua.
- Contoh: Solat Zohor dan Asar dilakukan sekali pada waktu Asar.
Berapa KM Jarak Perjalanan yang Membolehkan Solat Jamak
Jarak yang membolehkan seseorang menunaikan solat Jamak ialah sejauh dua marhalah (lebih kurang 81 kilometer).
Dua Marhalah ialah ukuran perjalanan yang dibolehkan seseorang itu melaksanakan solat qasar dan jamak. Maksud ukuran 2 marhalah itu ialah:
- Jauh perjalanan sekira-kira dua hari perjalanan atau dua malam atau sehari dan semalam perjalanan unta yang membawa barang-barang dagangan ( barat-barat dagangan yangberat di atasnya). (Rujukan Kitab Matlak Al-Badrain hlmn 92)
- Perjalanan selama dua hari (dua siang) atau dua malam atau sehari semalam dengan unta yang membawa barang dagangan yang berat. (Rujukan Idaman Penuntut 1/90)
- Perjalanan dua hari atau dua malam atau sehari semalam jika menunggang unta (Rujukan Zain ATH-Tholib 1/209)

Situasi Dibenarkan Jamak
- Musafir – perjalanan jauh yang memenuhi syarat ditetapkan.
- Tidak Menetap Lama: Musafir tersebut tidak boleh berniat untuk menetap lebih dari tiga hari, tidak termasuk hari ketibaan dan hari berangkat.
- Hujan lebat – yang menyukarkan untuk berulang-alik ke masjid.
- Sakit atau uzur – sehingga sukar menunaikan solat pada waktunya.
- Darurat tertentu – seperti bencana atau kesukaran lain.
Kesimpulan
Solat jamak merupakan keringanan yang dikurniakan Allah kepada hamba-Nya, sebagai tanda rahmat dan kasih sayang-Nya. Ia membuktikan bahawa Islam adalah agama yang memudahkan, tidak membebankan, namun tetap memelihara kewajipan solat fardu.



